Jumaat, 13 Februari 2009

STRESS LONJAK PRODUKTIVITI


BARU-baru ini seorang ibu membawa anak lelakinya berusia tujuh tahun menemui doktor pakar selepas anaknya mengalami demam berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah pada 5 Januari lalu.Sebelum ini, doktor yang merawat budak lelaki itu menyatakan dia bebas daripada penyakit yang serius.“Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya beri ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit.“Anak anda normal. Mungkin dia stres kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru sekolah.” Itu antara kata-kata pakar kanak-kanak kepada ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah.


Menurut Dr Hans Selye, pengasas teori stres, stres satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respon.


Bertentangan dengan persepsi ramai orang, stres boleh dibahagi kepada stres baik atau positif dikenali sebagai ‘eustress’ dan stres buruk atau negatif ‘distress’. Pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di ibu kota, Dr S Mogan berkata, stres positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.


Menurut sejarah, Alexander Graham Bell mencipta telefon, alat yang mencetuskan revolusi dalam bidang perhubungan, ketika ingin membantu tunangnya yang hilang pendengaran.Kata Dr Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stres kerana suatu aspek yang subjektif. “Kalau anda tanya 10 orang mengenai punca stres, anda akan mendapat 10 jawapan berlainan.“Sebabnya tiada definisi stres dipersetujui semua, apa yang stres bagi seseorang mungkin sesuatu yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.“Contohnya, penunggang motosikal akan gembira bila dapat memecut kenderaan mereka manakala ini perkara menakutkan bagi orang lain. Menang dalam perlumbaan mungkin lebih stres daripada kalah, tapi ini stres yang baik,” kata beliau.


Menurut pendidik Fatimah Mansur, stres melonjakkan produktiviti seperti apabila pelajar menghadapi peperiksaan.“Pelajar berusaha lebih gigih apabila peperiksaan hampir manakala pekerja di pejabat bekerja lebih cepat apabila waktu pulang sudah dekat,” katanya.Fatimah berkata, orang ramai perlu mendapat stres yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian. “Anda boleh guna dan gembleng stres untuk menjadi lebih produktif,” kata Fatimah lagi.


Menurut risalah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, antara punca stres ialah beban kewangan, masalah rumah tangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya dan tragedi. Seseorang yang mengalami stres akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus dan tumpuan kerja serta resah dan cepat marah. Mereka digalakkan mengambil 10 langkah ‘B’ iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata relakslah, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif. — Bernama

0 ulasan:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Insurance Industry News. Powered by Blogger